Subscribe:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Comments

Recent Posts

Sunday, 27 November 2011

Konsep Wasatiah yg sebenar

Konsep Wasatiah (Kesederhanaan) Dalam Islam


Pendahuluan


Islam mempunyai keistimewaan berbanding dengan agama lain yang terkenal di dunia ini seperti Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya yang mana Islam menekankan keseimbangan dan intergrasi antara dunia dan akhirat serta mengawal dasar keseimbangan dan keadilan di antara tuntutan atau kehendak rohaniah dengan jasmaniah.

Penganut Islam tidak dilarang untuk menikmati harta benda dan tuntutan jasmani selagi yang diperolehi itu menurut cara yang halal dan diambil dalam kadar yang sederhana dan munasabah.

Oleh itu, adalah penting di sini untuk memahami konsep “ummatan wasatan” dan ciri-ciri utama masyarakat Islam demi melahirkan umat Islam madani seperti mana yang diidamkan.

Definisi Ummatan Wasatan
Perkataan wasatan adalah daripada kalimah Arab yang membawa erti pertengahan, kebaikan, keadilan dan kesederhanaan antara dua pihak. Apabila kita merujuk kepada al-Quran, kita akan dapati Al-Quran menyifatkan umat Islam sebagai umat yang sederhana atau mempunyai konsep pertengahan dalam segala aspek kehidupan mereka. Ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “demikianlah pula kami telah jadikan kamu umat yang adil (pertengahan) supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia……” (Surah al-Baqarah: 143)

Pengertian wasatan di dalam ayat di atas mengikut pandangan Sayyed Qutb, “ Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu duduk di tengah-tengah. “
Wasatan juga diertikan dengan adil dalam erti kata meletakan sesuatu pada tempatnya. Pastinya sesuatu yang adil itu adalah bersifat sederhana antara dua pihak yang melampau. Di dalam bahasa Arab wasatan juga membawa erti adl iaitu benar, lurus dan betul.
Kesederhanaan yang diamalkan di dalam Islam adalah bermatlamat untuk mencari kebenaran atau Al-Haq. Dalam menuju ke arah kebenaran pastinya akal semata-mata tidak mampu untuk memimpin manusia mencapai kebenaran yang mutlak. Roh kesederhanaan dalam Islam ditiup oleh Al-Quran yang merupakan wahyu Ilahi untuk mengimbangi di antara kehendak manusia dan agama. Keseimbangan ini tidak mungkin akan kita dapati di dalam ajaran agama atau kitab-kitab suci yang lain selain Al-Quran.

Dasar Perimbangan
Manusia terdiri dari dua unsur iaitu roh dan jasad atau rohani dan jasmani. Salam yang diarahkan oleh Allah terhadap naluri manusia bukan untuk jasad sahaja dan bukan untuk roh sahaja tetapi untuk kedua-duanya sekali, iaitu untuk jasmaniah dan rohaniah. Ertinya salam yang berimbangan antara keduanya. Oleh yang demikian Allah mengarahkan setiap salam supaya memohon kepadaNya sekali pada tiap-tiap kali selepas sembahyang agar berdoa. FirmanNya yang bermaksud: “Wahai tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jagalah kami (jauhkan kami) dari keazaban api neraka. ” (al-A’ raf, 7:31)

Salam dalam kehidupan hanya terwujud jika manusia tidak melewati batas dalam usahanya mewujudkan salam atau kesejahteraan kepada jasmani sahaja atau rohani sahaja. Apabila jasad sahaja yang diutamakan mungkin ia selamat atau senang tetapinya tersiksa, sebaliknya jika roh sahaja yang dipentingkan mungkin rohaniah selamat, tetapi jasmaniah merana dan tersiksa di dunia. Oleh itu Allah melarang manusia batas. Firman Allah yang bermaksud: “Makan minumlah kamu dan kamu jangan melewati batas, sesungguhnya Ia tidak kasihkan orang-orang yang melampaui batas.” (Al-A’ raf, 7:31)

Prinsip ilmu kesihatan bersesuaian dengan ayat ini sebab makan minum yang sederhana itulah yang dapat mencegah penyakit daripada badan, makan dan minum yang berlebihan akan mendatangkan penyakit. Allah menyeru ahli kitab dalam al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad supaya mereka mereka tidak melewati batas atau melampaui sempadan. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu. ”

Apabila manusia tidak boleh melewati batas dalam urusan rohaniah dan jasmaniah dan tidak berlebih-lebihan dalam urusan akhirat dan tidak berlebihan dalam urusan dunia, maka jalan seperti itu akan membawa manusia kepada “jalan tengah” di antara dua jalan yang bertentangan.

Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam agama, membantah ajaran-ajaran penyeksaan diri demi agama. Ini dibuktikan dengan kebenaran memakan makanan yang lazat-lazat dan memakai perhiasan, asal tidak berlebih-lebihan dan tidak bersikap sombong.

Sebagaimana Allah telah menjadikan Rasul-Nya tauladan yang baik bagi umat manusia, maka umat Islam pula harus menjadi tauladan atau contoh yang baik kepada umat yang lain. Apabila kita mengikuti jalan tengah, tidak melewati batas ke kiri atau ke kanan maka perseimbangan antara ke duanya telah tercapai. Seterusnya tertempuhlah jalan lurus yang diistilahkan oleh Al-Quran dengan “al-sirat al-mustaqim” iaitu pada setiap kali sembahyang dan pada setiap raka’at ketika membaca al-Fatihah.

Aspek-aspek Kesederhanaan Islam
Walaupun lahirnya berbagai mazhab dan perbezaan pandangan di kalangan umat Islam, namun kesederhanaan masih menjadi tunggak kepada mereka dalam berijtihad atau mengemukakan pandangan. Terdapat tiga aspek yang menjadi pembahagian utama kepada ilmu-ilmu Islam :

Pertama : Pemikiran Islam dan Aqidah
Medan pemikiran Islam dan Aqidah juga diresapi oleh roh kesderhanaan di mana ajaran Islam selari dengan fitrah semulajadi manusia yang dicipta oleh tuhan. Konsep paksaan tidak diamalkan oleh Islam dalam seruannya untuk mengajak manusia beriman kepada Allah. Bahkan Islam memberi pengiktirafan yang selayaknya terhadap akal sebagai jalan untuk manusia menerima Islam. Islam mengajak manusia berfikir dengan melihat kepada alam kehidupan mereka dan rahsia-rahsia alam untuk mendorong mereka menerima ketuhanan Allah.

Keseimbangan di antara wahyu dan akal dalam persoalan aqidah merupakan kesederhanaan Islam menggabungkan fitrah manusia yang sempurna untuk menerima Allah sebagai tuhan dan hujah-hujah akal yang diterima oleh semua manusia. Ibn Hazm menegaskan bahawa “ tidak benar sekiranya mereka ingin membuktikan kesahihan iman dengan mengemukakan dalil-dalil akal semata-mata. ” Pandangan Ibn Hazm itu menerangkan kesederhanaan Islam dalam mengimbangi antara tuntutan akal dan wahyu mengenai persoalan aqidah.

Kedua : Tasawuf
Jika ditinjau pada aspek akhlak, Islam tidak hanya mengetengahkan teori akhlak yang berbentuk ideal kerana pada pandangan Islam, akhlak merupakan tingkah laku dan amalan seharian manusia. Kesempurnaan akhlak pada pandangan Islam diukur pada hukum wajib yang ditentukan oleh agama berpandukan kepada sifat dan nama Allah yang maha agung.

Ketiga : Aspek Perundangan (Fekah)
Perundangan Islam mempunyai ciri yang tersendiri dalam memastikan keadilan terlaksana dalam pelaksanaannya. Ianya tidak dapat diubah walaupun berbeza keadaan dan tempat kerana ianya adalah suatu yang tetap dan pasti dari Allah. Hukukm-hukum perundangan Islam mempunyai ciri keseimbangan antara wahyu dan akal, Nas dan realiti masyarakat, matlamat dan cara.

Kesederhanaan Perundangan Islam
Ciri kesederhanaan Islam dalam perundangan dapat dilihat dengan jelas antara Syariah Islam dan undang-undang ciptaan manusia. Syariah adalah perkara-perkara yang disyariatkan oleh Allah kepada manusia melalui RasulNya yang berkaitan dengan aqidah, akhlak dan perundangan. Fekah pula bererti hukum-hukum yang diambil daripada Al-Quran dan hadis Nabi serta sumber-sumber yang disepakati oleh ulama Islam. Ini bererti Fekah merupakan hasil ijtihad ulama Islam daripada wahyu dan hadis Nabi sedangkan syariat pula adalah suatu yang pasti dan mutlak datangnya dari Allah. Menurut kata lainnya syariat Islam adalah terpelihara dan pasti kebenarannya berbeza dengan hukum-hukum fekah yang bersifar ijtihad semasa daripada nas-nas tersebut.

Undang-undang sivil ditakrifkan sebagai himpunan kaedah dan peraturan umum yang menghukum tingkah laku individu dalam masyarakat manusia dan hubungan sesama mereka. Hukumannya adalah berbentuk lahiriah dengan ditentukan oleh hakim. Undang-undang sivil yang dijalankan mengikut waktu dan tempat tertentu akan berubah apabila masyarakat dan suasana berubah.

Walaupun terdapat persamaan antara undang-undang sivil ciptaan manusia dengan fekah Islam, namun masih terdapat perbezaan yang ketara di antara Al-Quran dan hadis sedangkan undang-undang sivil berubah mengikut tuntutan keperluan masa dan tempat.

Konsep kesederhanaan diterapkan dalam perundangan sivil. Konsep tersebut bukannya suatu pengukuran yang universal dan mutlak malah sentiasa berubah mengikut situasi dan keadaan.

Ciri-ciri Kesederhanaan Syariah Islam
Jika dirujuk kepada kaedah usul fekah dan mazhab fekah Islam yang berbagai-bagai kita akan dapati terdapat petunjuk yang jelas mengenai kesederhanaan syariah Islam. Kesederhanaan itu pastinya dari Al-Quran dan hadis Nabi yang telah disaring dan ditafsirkan oleh ulama Islam mengikut suasana dan fahaman mereka. Namun pentafsiran tersebut tidak terkeluar dari landasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Ciri-ciri kesederhanaan syariah Islam adalah seperti berikut:
1. Keseimbangan antara Nas Syarie dan realiti kehidupan
Nas-nas yang datang dari Al-Quran dan hadis yang sohih merupakan hukum yang pasti. Hukumnya adalah pasti dalam soal yang diperkatakan oleh nas tersebut. Sebahagian ulama Islam berpendapat bahawa ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi yang sahih tidak datang dalam bentuk pasti melainkan dalam soal-soal ibadah tauhid sahaja. Manakala aspelk lain seperti sosial, pemerintahan, perniagaan dan hubungan antara manusia datang dalam bentuk zanni. Perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia tidak disebut hukumnya dalam syariah Islam dalam bentuk pasti kerana tabiat kehidupan manusia itu berubah-ubah. Nyatalah bahawa Islam dalam perundangannya mengambil kira soal hubungan kehidupan manusia yang berubah-ubah dengan tuntutan agama iaitu dengan mengimbangi antara nas dan realiti kehidupan.

2. Perbezaan antara ideal dan realiti
Islam mengambil kira keadaan manusia dan kemampuan mereka sebelum sesuatu hukum dilaksanakan. Islam juga menggalakkan umatnya melakukan perkara-perkara yang membawa mereka ke suatu tahap yang paling ideal, contohnya amalan sunat. Amalan tersebut bukanlah suatu yang diwajibkan oleh Islam tetapi ia lebih bersifat sukarela dari hamba yang mencari keredhaan tuhannya. Kesemua hukum taklif yang diwajibkan oleh Islam terhadap umatnya adalah dalam lingkungan kemampuan dan upaya manusia. Sebagai contoh dalam pemilikan harta, Islam mengiktiraf pemilikan harta individu dan kekayaan kerana ianya adalah naluri manusia.

3. Keseimbangan antara kehendak individu dan masyarakat
Ciri perundangan Islam itu dapat dilihat pada nas-nas syara’ (Al-Quran dan Sunnah) di mana nas-nas tersebut mengimbangi antara kehendak individu dan maslahat umum, tidak dipinggirkan kehendak individu kerana maslahat umum seperti sistem sosialis dan tidak diabaikan maslahat umum kerana kepentingan pemodal seperti sistem kapitalis. Dalam persoalan hubungan kekeluargaan, segala hukum tanggungjawab yang dikenakan ke atas semua ahli keluarga adalah untuk kepentingan bersama dan pembinaan sebuah keluarga yang harmonis.

4. Keseimbangan antara matlamat dan cara
Hubungan antara cara dan matllamat hampir tidak terdapat di dalam perundangan yang lain selain Islam. Kesederhanaan hubungan antara matlamat dan cara hanya terdapat dalam perundangan Islam sahaja. Perundangan Islam mampu mencapai matlamat yang sempurna untuk menggabungkan antara cara dan matlamat dengan pendekatannya yang tersendiri iaitu melalui kaedah “Sadul zaraie”. Pendekatan ini tidak terdapat dalam mana-mana perundangan sivil yang menilai matlamat suatu hukum itu terpisah dari cara pelaksanaannya. Sedangkan Islam pula melihat kepada pendekatan “cara berpandukan matlamat”. Ianya menrupakan lunas akhlak di samping perundangan yang adil yang menggambarkan kesederhanaan perundangan Islam yang sempurna.

Kesimpulan
Umat Islam adalah ummatan wasatan, umat di tengah, umat pengimbang, pembimbing dan teladan kepada manusia sejagat. Ummatan wasatan menjadi saksi ke atas manusia dalam erti membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah dengan sikap seadil-adilnya. Rasulullah s.a.w sendiri menjadi saksi kepada umat Islam. Junjunganlah yang memberikan petunjuk mana yang benar dan mana yang salah.

Rujukan

Dr. Haron Din (1990) Manusia dan Islam Kuala lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Rasyid Ridha (1991) Wahyu Ilahi Kepada Muhammad Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wednesday, 23 November 2011

Peliharalah Tutur Kata

Peliharalah Tutur Kata

Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Maksudnya:'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.'
(Surah al-Hujurat:11)

Maksudnya:'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'
(Surah al-Hujurat:12)

Allah Ta'ala berfirman lagi:

Maksudnya:
Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'
(Surah al-Ahzab : 58)

Maksudnya:
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)

Maksudnya:
'Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.'
(Surah Taha: 43-44)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:

Maksudnya:
'Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur'
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.'
(Riwayat al Tirmidzi)

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya;Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.'
(Riwayat Muslim)

Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya:

'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:
'Bersumber dari Abu Darda' r.a., ia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda 'Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.'
(Riwayat Abu Daud)

Maksudnya:
'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!'
(Riwayat at-Tabarani)

Maksudnya:Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya: 'Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.'

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya:Tidak harus bagi seorang muslim itu menimbulkan ketakutan pada diri saudaranya.'
(riwayat Abu Daud)

Hadith tersebut menghendaki kita menggunakan bahasa yang mudah supaya maksudnya tepat dan tidak menggelirukan pemikiran pembaca. Gaya bahasa yang berbelit-belit, mencemuh, mencarut, menghina dan sebagainya hendaklah dihindarkan kerana ia dilarang oleh Islam berdasarkan firman Allah:

Maksudnya:
Wahai orang yang beriman, takutlah akan Allah. Dan katakanlah kata-kata yang betul nescaya Allah akan menjadikan amalmu baik. Dan akan diampuni-Nya dosa-dosa kamu.
(Surah al-Ahzab: 70-71)

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:Sesungguhnya orang yang suka menyebarkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)'.
(Surah an-Nur: 19)

Tuhan firmankan dalam al-Qur'an:

Maksudnya:'Dan hendaklah kamu berkata kepada manusia itu dengan kata-kata yang baik (dengan kata-kata yang lembut dan tidak menyakitkan hati.'
(Surah al-Baqarah : 83)

Ini firman Allah S.W.T, kalau kita terima pandangan bahawa Islam itu membenarkan kita berkasar, kita mencarut, tidakkah itu bertentangan dengan apa yang Nabi kita Muhammad s.a.w. tegaskan dalam hadithnya:

Maksudnya:
'Awasilah kamu kata-kata yang kotor, maka sesungguhnya Allah Ta'ala tidak suka (dalam erti kata benci), dengan kata-kata yang kotor dan mereka yang berperangai kotor.'

Kalau kita terima kenyataan yang kita katakan tadi, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi sabdakan:

Maksudnya:
'Bukankah sebenarnya orang yang beriman,mereka yang mencaci cela dan melaknat yang mengeluarkan kata-kata kotor dan mengeluarkan kata-kata yang hina.'

Kalau kita terima kenyataan yang kita katakan tadi, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi sabdakan:

Maksudnya:
'Memaki hamun orang mukmin itu, adalah satu perkara yang tergelincir, rosak dan pembunuhannya itu adalah kekufuran.'

Kalau kita terima, Islam itu membenarkan kita berkata sewenang-wenangnya, tidakkah ia bercanggah dengan apa yang Nabi sabda dalam hadithnya:

Maksudnya:
'Berbahagialah mereka yang dapat menahan dan mengawal lebihan daripada lidahnya yang terlampau lancang, hingga mengeluarkan kata-kata yang lucah dan carut marut.'

Kalau kita terima bahawa insan membenarkan dakwaan mengatakan kita boleh berkata sewenang~wenang walaupun dalam bentuk tidak begitu sopan, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi katakan dalam hadith:

Maksudnya:
'Sesiapa yang beriman dengan Allah dan beriman pada Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata dengan kata-kata yang baik atau kalau tidak dapat melakukannya, lebih baik bendiam sahaja.'

Kalau kita terima bahawasanya kita boleh lakukan carut mencarut, maki hamun dan sebagainya tidakkah bercanggah dengan apa yang Nabi sebutkan dalam hadithnya:

Makksudnya:'Cukup atau memadai, seseorang itu dikatakan jahat, apabila dia memandang hina, merendah-rendahkan saudaranya Muslim yang Lain.'

Kalau kita terima kenyataan yang seperti itu, tidakkah ia bercanggah dengan hadith Nabi:

Maksudnya:'Tidak wajar dan tidak harus bagi seseorang mukmin itu memandang saudaranya dengan pandangan yang menyakitkan hati.'

Kalau kita terima juga kenyataan itu, bagaimana pula sabda Nabi kita Muhammad s.a.w.:

Maksudnya:'Tidak lurus seseorang hamba itu, melainkan lurus hatinya. Dan tidak lurus hatinya melainkan lurus lidahnya dapat memelihara daripada kata-kata yang keji dan tidak masuk syurga seseorang itu yang sentiasa tidak lepas daripada mengganggu gugat jiran tetangganya.'

Golongan Ruwaibidhah di Malaysia

Golongan Ruwaibidhah di Malaysia

Siapakah golongan Ruwaibidhah? Kehadiran kelompok ini memang mendatangkan banyak masalah kepada umat Islam serata dunia. Kecelakaan menimpa umat ini memang parah. Dan kehadiran mereka adalah salah satu penyebabnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta.


Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?" Nabi s.a.w menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai." [Ibnu Majah]


Menurut keterengan Ustaz Fahmi Zam Zam dalam 40 hadis susunannya berhubung akhir zaman, beliau menyimpulkan bahawa era di mana terbitnya Ruwaibidhah ini adalah zaman ketandusan daripada segi material dan pemikiran.


Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanya peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Ciri-ciri Ruwaibidhah

Berdasarkan hadis itu, kita dapati Ruwaibidhah adalah mereka yang hadir pada era tandus dan kekeringan hikmah, pengetahuan hingga umat tidak lagi mampu berfikir dengan cara betul. Ini isyarat pertama.

Oleh sebab masyarakat menjadi bodoh kerana diperbodohkan pihak penguasa, maka orang berdusta pun boleh menjadi benar dan orang yang benar pula boleh dikatakan sebagai telah berdusta. Ini isyarat kedua.


Pengkhianat diminta memegang amanah dan orang yang amanah dituduh pengkhianat. Ini isyarat ketiga.


Isyarat keempat dan yang terakhir; yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Inilah yang paling utama sekali. Kita akan huraikan kemudian, kenapakah isyarat ini yang dianggap penting dan terutama.


Mengakhiri sabdanya, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa pada hakikatnya.. Ruwaibidhah itu manusia yang kerdil, hina dan tidak mengerti urusan orang ramai.


Ruwaibidhah di negara kita

Antara ciri-ciri yang utama Ruwaibidhah ini ialah sistem yang dipegang, amalan pentadbiran dan cara hidup era tersebut telah menyebabkan, hanya golongan Ruwaibidhah sahaja yang bercakap. Manakala, penyertaan suara yang selain daripada mereka tidak diberikan.

Keadaan ini menyebabkan maklumat menjadi tidak seimbang, rakyat akan mendengar sebelah pihak dan menelan bulau-bulat propaganda mereka. Dengan sebab inilah masyarakat dan rakyat tu menjadi semakin bodoh kerana diperbodohkan.


Setelah masyarakat tidak cerdik, maka berleluasalah gejala lain seperti, orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung-sanjung dan didewa-dewakan.


Akta-akta, undang-undang diperkenalkan sehingga menyekat penyertaan suara orang-ramai. Orang yang benar-benar ikhlas dan jujur sangat kurang peluangnya untuk bercakap, menulis dan melontarkan pandangan. Media dikawal rapi. Pendek kata inilah ciri-ciri diktator pada hari ini.


Sebenarnya, jika mereka ingin menunjukkan kebaikan, semua itu hanyalah sekadar sandiwara dan lakonan. Mereka mungkin mahu menyekat suara orang-ramai, tetapi dikhuatiri akan dinamakan kukubesi dan diktator. Maka, sesekali terpaksalah mereka merelakan penyertaan suara khalayak ramai. Tapi, selepas itu mereka akan menutupnya semula.


Peluang bercakap cuma dimiliki sepenuhnya oleh watak-watak yang hina dan mereka ini tak tahu bagaimana mahu selesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakatnya. Bayangkan, ruang bercakap di media, radio dan televisyen dimonopoli oleh orang yang tidak tahu mengendalikan masalah rakyat.


Sedangkan, mereka yang benar-benar bijaksana dalam urusan menyelesaikan masalah rakyat telah diketepikan suara mereka itu dalam ruang media. Dan jika mereka yang bijaksana ini mahu mencari pentas ceramah dan pidato, permit boleh ditarik balik pada saat-saat akhir setelah pada awalnya permit itu diberikan.


Perkembangan mutakhir ini menyebabkan ramai pihak boleh menyatakan suara dan bantahan mereka menerusi blog, laman web dan sebagainya. Namun, mereka tetap terdedah kepada unsur godaman internet oleh pihak-pihak tertentu, ditahan reman di bawah akta tertentu untuk disoal-siasat dan lain-lain tindakan lagi.


Bagaimana mengatasi Ruwaibidhah?

Tidak guna juga jika kita merincikan siapakah Ruwaibidhah tanpa memberikan imbuhan mengenai bagaimanakah caranya untuk menangani puak-puak Ruwaibidhah ini.

Asas atau kunci untuk menumbangkan hegemoni, legasi puak-puak Ruwaibidhah ini amat bergantung kepada taraf kecerdikan rakyat yang telah diperbodohkan selama ini. Ketika masyarakat cerdik dan cekap membuat keputusan, maka Ruwaibidhah ini akan tumbang dengan sendirinya nanti, insya Allah.


Islam telah pun menggariskan apakah ciri-ciri munafik sebagai musuh utama umat Islam. Munafik sebenarnya bukan Islam. Mereka kelihatan Islam di luaran, tetapi dalamannya masih kufur. Munafik akan terlempar dalam neraka terlebih dahulu. Dan, tidak sah berimamkan orang munafik kerana pada hakikatnya mereka adalah kufur.


Demikian ciri munafik. Tetapi, sukar dikenalpasti kemunafikan ini lantaran mereka juga bersolat seperti orang lain.


Sementara ciri-ciri ruwaibidhah ini boleh jadi terlekat ke atas Muslimin dan orang bukan Islam. Dalam masyarakat Islam ada pemimpin ruwaibidhah dan begitu juga dalam negara bukan Islam. Pendek kata, ruwaibidhah adalah ciri universal yang dimiliki oleh mana-mana bangsa, agama dan kepercayaan.


Kehadiran golongan ruwaibidah bersifat merentasi sempadan bangsa, negara, agama dan kepercayaan dan boleh mereka hadir di mana-mana jua. Sedangkan munafik hanya suatu gelaran yang dinisbahkan kepada orang bukan Islam yang menyamar untuk melemahkan umat Islam daripada dalam. Ini ciri khas untuk masyarakat Islam sahaja.


Penawar untuk menjatuhkan tembok keangkuhan ruwaibidhah ialah.. perjuangan menegakkan kebebasan bersuara, menggalakkan kemunculan ruang media yang lebih banyak untuk membongkar isi filsafat songsang mereka selama ini.


Penyertaan bersuara dalam kalangan rakyat menggetarkan seluruh hati dan perasaan kelompok Ruwaibidhah kerana tipu daya mereka akan terbongkar. Niat jahat mereka ditumbangkan oleh bedilan kata-kata pejuang kebenaran. PPSMI dan Ruwaibidhah

Sabda Rasulullah s.a.w, Ruwaibidhah ini sebenarnya watak manusia yang kerdil, hina dan mereka ini sebenarnya tak tahu mengenai cara bagaimana mahu menyelesaikan masalah orang-ramai. Masalah masyarakat yang tidak selesai, belum selesai dan separuh selesai ini berpunca daripada kegagalan media yang seimbang untuk beroperasi secara adil.

Ruwaibidhah inilah yang dengan takburnya mengangkat suara: "Perjuangan belum selesai!"


Mahu selesai bagaimana sedangkan mereka inilah antara penyumbang saham terbesar dalam usaha meruntuhkan tamadun bangsa ini. Suara-suara untuk menegur dihalang. Yang ingin membuat pembaharuan dipecat, dan dikenakan pelbagai tindakan.


Sebenarnya, banyaklah masalah rakyat yang belum selesai di bawah pemerintahan Ruwaibidhah ini. Ciri-ciri terakhir yang telah digariskan oleh baginda rasulullah ialah mereka ini tidak mengerti urusan orang-ramai. Mereka tidak tahu kerana tidak turun padang bagi menyelami hakikat sebenarnya.


Tak perlu ambil contoh urusan rakyat yang terlalu banyak. Ambil contoh PPSMI saja. Adakah Ruwaibidhah ini boleh turun menyamar dan betul-betul menyelidik mengenai susah-payah orang bawahan, guru-guru yang mahu melaksanakan PPSMI?


Ternyata Ruwaibidhah tidak tahu banyak kesukaran rakyat bawahan. Selain itu, orang yang ingin bercakap benar seperti guru-guru yang ingin melontarkan keluhan, tidak diizinkan bercakap di media dengan ugutan tertentu oleh Ruwaibidhah.


Malah, cendekiawan yang benar dalam kalangan GMP dituduh sebagai pendusta. Sedangkan si Ruwaibidhah ini pula dikatakan sebagai orang yang benar dalam ucapannya.


Tokoh-tokoh GMP sentiasa hadir dengan jumlah bilangan yang sama dan kehadiran mereka tidak berubah. Walhal Ruwaibidah telah berubah daripada Hishammuddin Hussein kepada Muhyiddin Yassin. Mengubah seorang Ruwaibidhah kepada Ruwaibidhah yang lain tidaklah mengubah apa-apa dasar itu pun.


Ini kerana Ruwaibidhah tetaplah digantikan dengan Ruwaibidhah. Salin pakaian dan baju sahaja sedangkan roh, jiwa serta pemikiran termasuk sistemnya tetaplah sama.


Adakah hal ini pun salah satu daripada strategi halus Najib juga untuk menyelamatkan sepupunya Hishammuddin dan supaya Muhyiddin terbeban dengan banyak hal dan akhirnya hal ini menjadi hujah untuk menyingkirkan Muhyiddin kemudian hari?


Ruwaibidhah Najib akan melakukan banyak sandiwara lakonan sepanjang pemerintahannya. Bermula rampasan kuasa di Perak, kemudian penarikan penggantungan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan dalam keadaan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang masih dikekalkan, Ruwaibidhah ini masih lagi menyekat dan membataskan penyertaan suara.


Adalah perlu bagi Ruwaibidhah Najib menonjolkan kebaikannya buat sementara waktu. Tetapi gergasi Ruwaibidhah ini tidak boleh menipu para pengamal media yang terlalu cukup masin dengan pengalaman ketika menekuni tipu helah Najib dan fasih pula dengan sandiwara membebaskan 13 tahanan ISA itu.


Masa dan waktu, bersulam keinginan rakyat mencari ruang maklumat yang lebih banyak menyebabkan Ruwaibidhah akan hancur sedikit demi sedikit. Anai-anai maklumat inilah yang akan meruntuhkan tembok gergasi Ruwaibidhah Najib, insya Allah!

featured-content

.