Nikah Khitbah : Solusi Masalah Cinta Remaja
Oleh : Ustaz Maszlee Malik
Selepas
Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis
menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon,
emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun
turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut,
persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di
IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun
bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui
sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel
tersebut dihasilkan.
Antara
soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta
dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?”
Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin
mendapatkan jawapannya.
“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.
“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.
Akibat Kurang Bercinta
Ketika
ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT,
saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang
tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit
teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana
gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang
menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu
atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga
tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada
kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan!
Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah
dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota.
Cuma
bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang
dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan
bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta
yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan
bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi
materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran
manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta
jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta,
mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak
suci lagi.
Coupling
pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah
dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai
definisi kepada perhubungan intim dia insan berlaina jantina sebelum
berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang
dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu
serakah” semata-mata.
Cinta
yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul,
cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada Negara
dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi
unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!
Khitbah Bukan Tunang
Salah
seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah,
takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi.
Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.
Penulis
menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah,
tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.
Jika
diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang
skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak
tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri
sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka
boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal,
tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram?
Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib
berkhitbah!”.
Apakah
“khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud
“bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah
perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses
ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan
fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah
yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya,
disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar
perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk
menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih
dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang
bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang,
berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba
menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta
mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.
Khitbah
menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat
berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga
pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang
sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan
akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah
ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah
selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua
adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan
untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan
tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat
mengerikan?
Jika
ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu
konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun
agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan
siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia
boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.
Khitbah di IPT
Jika
pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam
kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan
tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak
perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu
membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk
menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya,
kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa
sahaja.
Bunyinya
agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa
akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu
bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini
bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa
dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT
seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian
baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang
sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan
anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana
persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi
menjurus kea rah maksiat dan nafsu.
Sudah
sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka
hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka
menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan
sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua
jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan
kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam
percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan.
Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini
adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk
membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi
menyelamatkan agama dan maruah mereka.
Kebanyakan
ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka
akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian
untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil
langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan
sewaktu belajar. Adalah amat naïf bagi mereka yang hidup alaf baru ini
tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan
tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa
menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.
Risiko
Seperkara
yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari
risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka
tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu
penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga
salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT.
Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat
mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka
yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri
dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian
kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini
hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan
diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila.
Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di
universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah
menjadi matlmat utama!
3 comments:
Nikah khitbah,, Apa komen Mu'allim Shah..
"Dah menikah, tapi tak leh bersama.. Boleh tahan ka hampa..?" Haha.. :D
sapa soh dk tmpt yg sma.,klu dh x leh thn dk la bersama..tp pndai tggng la..
berani buat berani tggng..
yeah..kena tanggung~
Post a Comment